Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Laporan portal Harian Metro sebelum ini
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kesemua tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila akibat kelayakan vaksin Covid-19 digital mereka tidak diiktiraf pihak berkuasa Filipina sudah dibenarkan memasuki republik itu.

"Sukacita Wisma Putra memaklumkan bahawa tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino dibenarkan memasuki Filipina, berikutan tindakan pantas Kedutaan Malaysia di Manila. Kudos team @myembassymanila," ciap Kementerian Luar (Wisma Putra).

Terdahulu, laporan menyatakan 13 rakyat Malaysia terkandas di lapangan terbang berkenaan, bagaimanapun, Wisma Putra mengesahkan jumlah sebenar ialah tujuh orang dan bukan seperti dilaporkan.

Mereka tidak dibenarkan masuk ke republik itu dan dimaklumkan bahawa sijil vaksin digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera bukanlah bukti vaksinasi yang boleh diterima.

Pengembara berkenaan memaklumkan kepada media Malaysia bahawa pasport mereka turut dirampas dan akan dihantar pulang pada Selasa, selain terpaksa menunggu di lapangan terbang kerana tiada kemudahan hotel disediakan.

Laporan itu juga menyatakan Duta Malaysia ke Filipina sudah bertemu pengembara berkenaan di lapangan terbang dan mengemukakan rayuan timbal balik vaksinasi, namun belum menerima maklum balas daripada pihak berkuasa Filipina.

Berita berkaitan

Bantu 15 rakyat kita terkandas di lapangan terbang di Manila

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 8:28 PM