ISMAIL Sabri Yaakob ketika menghadiri Majlis Bersama Jentera Barisan Nasional Parlimen Ledang di Dewan Putra Padang Lerek,Tangkak hari ini. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri Yaakob ketika menghadiri Majlis Bersama Jentera Barisan Nasional Parlimen Ledang di Dewan Putra Padang Lerek,Tangkak hari ini. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Tangkak: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh ditangguhkan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun), selain tarikh pengundian sudah diumumkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, satu-satunya kaedah untuk menangguhkan PRN Johor adalah menerusi pengisytiharan darurat, yang mana ia tidak mungkin akan berlaku.

"Apabila Dun sudah dibubarkan, butiran pilihan raya sudah diumumkan termasuk tarikhnya dan sebagainya, ia (PRN Johor) memang tidak boleh ditangguhkan.

"Kalau nak ditangguhkan hanya dengan mengumumkan darurat di seluruh Johor.

"Kalau kita buat darurat, takkan Johor sahaja darurat, negeri lain tidak (darurat) kerana peningkatan kes berlaku seluruh negara. Saya sudah umumkan tiada lagi sekatan termasuk darurat akan dilakukan selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Ledang di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dilapor menggesa kerajaan menangguhkan PRN Johor atau membenarkan parti yang bertanding untuk berkempen secara terbuka.

Pimpinan pembangkang menerusi kenyataan bersama, menegaskan ia bagi memastikan tiada pihak menjadikan peningkatan kes Covid-19 sebagai alat bagi tujuan politik walaupun jangkitan harian menunjukkan trend peningkatan akibat varian Omicron.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yakin, PRN Johor tidak akan ditangguhkan walaupun terdapat gesaan sebegitu.

Katanya, kes Covid-19 turut direkodkan pada PRN Melaka, namun ia tetap terkawal.

"Tidak ada sebab kita nak isytiharkan darurat di Johor semata-mata bagi menangguhkan PRN.

"Saya dan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menyatakan kita terpaksa hidup dalam Covid-19 sehingga ia dianggap sebagai endemik seperti penyakit lain termasuk selsema dan demam denggi.

"Kita perlu meneruskan hidup di dalam Covid-19 namun perlu kawal dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Ismail Sabri berkata, tidak mungkin juga ekonomi negara akan ditutup semula sekiranya darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana, kerana ia akan menyukarkan lagi kehidupan rakyat.

"Kalau kita tutup semula habis ekonomi dan kehidupan rakyat. Begitu juga pergerakan rentas daerah dan negeri. Cuma sempadan negara sahaja kita belum buka.

"Dalam negara kita dah buka termasuk untuk nak balik kampung masa raya esok pun kita dah umum, tak akan tiba-tiba nak tutup semula dan tak benarkan," katanya.

Mengulas SOP PRN Johor, Ismail Sabri berkata, pengumuman mengenainya akan dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

"Di Melaka SOP ketat, di Johor pun mungkin begitu namun kena tunggu pengumuman rasmi SPR.

"Bagaimanapun SPR sedang mendapatkan nasihat KKM berhubung SOP PRN Johor dan ia akan diumumkan sebaik sahaja semuanya dimuktamadkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 5:52 PM