GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ilah Hafiz Aziz

Kuala Lumpur: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menangguh Pilihanraya Negeri (PRN) Johor susulan peningkatan kes Covid-19 yang berpunca akibat varian Omicron.

Dalam satu kenyataan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Madius Tangau berkata, situasi Covid-19 tidak harus diperalatkan untuk tujuan politik.

Bagaimanapun mereka berkata, sekiranya kerajaan tidak melaksanakan penangguhan PRN, maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan.

"Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh tidak boleh dikenakan kerana ia terbukti gagal sebelum ini.

"PH juga memberi amaran agar kerajaan tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan sebaliknya memberi fokus kepada pendidikan dan kesedaran dalam menangani gelombang Omicron.

"Jangan kerana nak bunuh nyamuk, habis kelambu dibakar," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik Anwar di laman Twitternya, hari ini.

Majlis Presiden PH turut memutuskan mengadakan siri jelajah penamaan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang ditandingi selepas calon parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Ini demi menyatakan kesediaan PH menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk kerajaan negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor ketika pasca pandemik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Majlis Presiden PH juga menyatakan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti bertepatan dengan hasrat PH dan kerajaan seperti yang termaktub dalam Perkara 2.1 Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan PH.

"Perkara 2.4 menyatakan RUU ini perlu dibentangkan dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac depan.

"Justeru, majlis berpandangan bahawa RUU Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan seperti yang dipersefahami di dalam MoU itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 1:38 PM