JEMAAH umrah bersiap untuk berlepas di KLIA, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
JEMAAH umrah bersiap untuk berlepas di KLIA, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
Samadi Ahmad


Sepang: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa membentangkan prosedur operasi standard (SOP) umrah selepas kebenaran ibadah itu diberikan semula, bermula hari ini.

Ketua Pegawai Operasi EMRAZ Travel, Shahrul Izuan Shafie berkata, setakat ini, KKM belum mengemukakan SOP berkenaan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah sedangkan kebenaran bermula hari ini.

Menurutnya, syarikat pengendali belum mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara itu bagi membolehkan jemaah yang pulang dari Makkah untuk menjalani kuarantin sama ada di pusat khas disenaraikan kerajaan atau di rumah.

"KKM hanya mengeluarkan arahan baharu menjalani ujian makmal PCR selepas 48 jam berbanding 72 jam sebelum ini dan akan dibenarkan menunaikan umrah jika mereka mengemukakan laporan PCR negatif.

"Kami berharap KKM dapat mengeluarkan SOP jelas bagi memudahkan jemaah sebelum mereka pulang ke tanah air selepas mengerjakan umrah," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Kumpur (KLIA) pada seisi penghantaran jemaah syarikatnya ke Tanah Suci, hari ini.

Kerajaan hari ini membuka semula aktiviti ibadah umrah selepas penutupan sementara selama sebulan pada 8 Januari lalu, berikutan penularan varian Omicron.

Bagi hari pertama pembukaan umrah hari ini, syarikat berkenaan menerbangkan 120 jemaah ke Tanah Suci iaitu 75 jemaah berlepas ke Madinah menggunakan pesawat Saudi Airlines SV 829 pada 1.40 tengah hari manakala 40 lagi penerbangan Kuala Lumpur-Jeddah pada 6.35 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 5:30 PM