GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tiada keperluan untuk negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun kes harian Covid-19 melonjak naik akibat gelombang varian Omicron.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, ini kerana sistem kesihatan negara sudah bersedia menghadapi lonjakan kes yang meningkat berikutan kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi.

"Bagi saya tidak perlu (PKP) kerana peratusan pesakit Covid-19 kategori 3,4, dan 5 hanya satu peratus daripada keseluruhan kes, ini membuktikan program vaksinasi kita berjaya menyebabkan kadar kemasukan ke hospital juga makin berkurangan.

"Keberkesanan vaksin juga dapat dilihat apabila kadar pemulihan pesakit Covid-19 makin cepat iaitu kini hanya tiga hingga lima hari saja berbanding sebelum ini 14 hingga 21 hari," katanya kepada Harian Metro.

Dr Hanafiah berkata, jika berlaku senario lebih teruk iaitu lonjakan kes naik dengan mendadak, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bersedia dengan penyediaan pelbagai fasiliti yang mencukupi.

"Fasiliti kita sudah bersedia kerana kita sudah boleh memilih pesakit positif yang perlu dimasukkan ke wad atau hanya kuarantin di rumah.

"Tetapi saya bersetuju sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) dilaksanakan di kawasan tertentu yang berlaku penularan mendadak," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diperketatkan, Dr Hanafiah berpendapat, ketika negara menuju ke arah endemik, semua pihak perlu beradaptasi dengan Covid-19 dan bukan menunggu pengumuman dilakukan kerajaan.

"Saya berpendapat apabila berlaku lonjakan kes seperti sekarang sepatutnya kita tidak perlu menunggu kerajaan membuat pengumuman SOP diperketatkan.

"Apabila kita mahu menuju ke arah endemik, semua pihak iaitu individu, premis perniagaan, syarikat persendirian atau sebagainya perlu mengubah pengoperasian mereka bergantung kepada kes harian Covid-19," katanya.

Menyentuh mengenai komuniti di tempat kerja, beliau berkata, pengurusan syarikat perlu membuat keputusan dengan melakukan kembali sistem penggiliran di tempat kerja bagi mengurangkan jumlah orang berkumpul pada satu-satu masa.

"Sebagai contoh komuniti di tempat kerja, sepatutnya pihak pengurusan perlu mengurangkan kehadiran kakitangan dan kembali membuat sistem penggiliran ke tempat kerja dan bekerja dari rumah, tidak perlu sehingga kerajaan buat keputusan ini," katanya.

Bagi komuniti di sekolah, Dr Hanafiah berkata, sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan memberi kelonggaran kepada pihak pengurusan sekolah membuat keputusan untuk melakukan sistem penggiliran apabila kes melonjak naik.

"Masalah kita adalah keputusan ini memerlukan kelulusan pelbagai peringkat, saya fikir perkara sebegini perlu kelonggaran untuk pengurusan sekolah buat keputusan sendiri.

"Seperti kes di Selangor yang naik mendadak, tidak perlulah sehingga sekolah di Melaka pun perlu ditutup dan tidak perlu juga menunggu sehingga satu Malaysia kes naik baru buat sistem penggiliran," katanya.

Dr Hanafiah turut mengingatkan premis perniagaan terutama kedai makan juga perlu memainkan peranan masing-masing dengan menetapkan syarat sendiri tanpa menunggu keputusan kerajaan.

"Apabila kita lihat kes naik mendadak, kedai makan juga perlu mengurangkan kembali meja makan jika dulu 20 meja, sekarang ini kurangkan jadi 10 meja supaya berlaku penjarakan.

"Ini semua perlu diamalkan dan dilakukan sendiri dalam negara menuju ke endemik, dan bukan bergantung kepada keputusan kerajaan semata-mata," katanya.

Bagaimanapun beliau berharap kerajaan kembali mengehadkan aktiviti majlis sosial seperti kenduri kahwin.

"Sekarang ini saya lihat kenduri kahwin tidak berhenti, setiap minggu ada orang kahwin dengan jumlah kehadiran tetamu yang ramai sehingga 1,000 orang.

"Buat masa ini elok kurangkan kepada 250 tetamu saja atau lakukan sistem penggiliran mengikut masa bagi mengurangkan aktiviti perkumpulan dan penularan jangkitan," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata, kes harian Covid-19 berisiko melonjak sehingga kembali mencecah lebih 20,000 kes menjelang hujung bulan depan sekiranya kadar kebolehjangkitan (Rt) virus itu kekal pada kadar 1.2.

Unjuran itu berdasarkan model Pemerhatian dan Unjuran Kes Harian SEIR KKM, bagaimanapun, beliau yakin tahap keparahan wabak itu dapat dikurangkan walaupun kes bakal melonjak tinggi berikutan kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 2:40 PM