KERETA yang dipandu suspek. FOTO ihsan polis
KERETA yang dipandu suspek. FOTO ihsan polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang lelaki yang datang ke daerah ini bersama keluarga dari Kedah bukan saja tidak mempunyai lesen malah memandu secara melawan arus dalam usaha melarikan diri daripada polis sebelum ditahan di Taman Sentosa, Lukut, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11 malam itu, suspek yang menaiki kereta bersama isteri dan tiga anak didapati tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh malah positif dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, semasa penugasan Op Selamat di Kilometer 15 (Seremban-Port Dickson), Unit Peronda mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan dan semakan mendapati cukai jalan kenderaan itu sudah tamat tempoh.

"Sebaik kenderaan itu sampai, polis terus mengarahkan Proton Wira berwarna merah itu berhenti bagi tujuan pemeriksaan, namun pemandu enggan beri kerjasama dan melarikan diri menghala susur keluar ke Lukut," katanya dalam kenyataan media di sini tadi.

Katanya, pemandu turut memandu secara merbahaya dengan melawan arus namun berjaya ditahan di tepi jalan Taman Sentosa, Lukut.

"Hasil siasatan mendapati pemandu melarikan diri kerana takut disebabkan tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.

"Pemeriksaan dalam kenderaan terdapat empat penumpang iaitu isteri dan tiga anak suspek.

"Polis terus mengeluarkan saman atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu," katanya.

Mustafah berkata, suspek berusia 25 tahun turut mempunyai lapan rekod lampau jenayah dan dadah.

"Ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine dan dibawa ke Mahkamah Seremban pada pagi ini untuk permohonan reman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 12:45 PM