GAMBAR hiasan. Petugas perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada penerima di Seberang Jaya, kelmarin. FOTO Danial Saad
GAMBAR hiasan. Petugas perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada penerima di Seberang Jaya, kelmarin. FOTO Danial Saad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 12,022,117 individu dewasa atau 51.4 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima suntikan dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Berdasarkan data di laman web COVIDNOW, sejumlah 22,925,383 individu atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa di negara ini melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 99.1 peratus atau 23,202,227 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia antara 12 dan 17 tahun, sejumlah 2,788,724 individu atau 88.6 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi, manakala 2,867,902 individu atau 91.1 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam 28,683 dos vaksin diberikan, membabitkan 210 dos pertama, 288 sebagai dos kedua dan 28,185 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 63,601,771 dos.

Sementara itu menurut portal Github Kementerian Kesihatan, tujuh kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam, dengan masing-masing dua di Johor dan Selangor, manakala satu kematian direkodkan masing-masing di Pahang, Perak dan Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 10:51 AM