ANTARA GRO dari Korea Selatan yang ditahan (kiri) dan wanita yang ditahan di pusat urut di Pandan Indah. FOTO ihsan JIM
ANTARA GRO dari Korea Selatan yang ditahan (kiri) dan wanita yang ditahan di pusat urut di Pandan Indah. FOTO ihsan JIM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebuah pusat karaoke yang menawarkan 'amoi' Korea Selatan gebu sebagai peneman berhibur, dikesan bukan saja dikunjungi pengunjung biasa tetapi juga golongan VIP.

Difahamkan, premis beroperasi di Mont Kiara di sini, menyediakan pakej bilik eksklusif dengan layanan istimewa daripada wanita Korea Selatan itu.

Premis berkenaan bagaimanapun diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur jam 11 malam tadi, dan menahan enam wanita warga Korea Selatan yang disyaki menjadi pelayan pelanggan (GRO).

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, tiga lelaki terdiri daripada dua warga Korea Selatan dan seorang warga Pakistan turut ditahan ketika serbuan itu.

"Berdasarkan siasatan awal, premis itu menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan menawarkan wanita warga asing berusia antara 24 hingga 46 tahun sebagai pelayan istimewa dari bilik ke bilik pelanggan.

"Mereka memperoleh bayaran sebanyak RM500 bergantung kepada perkhidmatan yang ditawarkan selain menerima tip daripada pelanggan.

"Bayaran bagi setiap bilik pula mencecah sehingga RM2,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas ekspatriat.

Dalam serbuan berasingan, Syamsul Badrin berkata, JIM Kuala Lumpur menyerbu tiga pusat urut dan refleksologi di Pandan Indah, Ampang di sini.

Menurutnya, seramai 23 individu diperiksa dan tujuh daripadanya ditahan membabitkan enam wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Vietnam.

"Bagi mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan, pelanggan perlu membayar sebanyak RM200 bagi tempoh satu jam," katanya.

Katanya, kesemua suspek dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan susulan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 3:15 PM