Tun Abang Muhammad Salahuddin
Tun Abang Muhammad Salahuddin
BERNAMA

Kuching: Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, 100, meninggal dunia pada 11.47 malam tadi di Pusat Perubatan Normah di sini, akibat sakit tua.

Perkara itu disahkan oleh menantu Allahyarham, Wan Ibrahim Omar kepada Bernama.

Beliau berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang namun waktunya belum diputuskan.

Tun Salahuddin, yang lahir pada 27 Ogos 1921, menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014.

Allahyarham merupakan individu pertama yang berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali.

Pada 2000, Tun Salahuddin menjadi pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak kerana penyandang jawatan itu Tun Ahmad Zaidi Adruce tidak dapat menjalankan tugas kerana jatuh sakit.

Tun Ahmad Zaidi meninggal dunia pada Disember 2000 yang menyaksikan Tun Salahuddin dilantik semula secara tetap ke jawatan itu pada Februari 2001 dengan penggalnya berakhir secara rasmi pada 28 Februari 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 8:20 AM