Foto hiasan
Foto hiasan
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kedah mencatatkan dua lagi kluster institusi pendidikan baharu hari ini iaitu di Baling dan Kulim.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Othman Warijo berkata, kluster terbabit adalah Kluster Dah Jalan Weng 2 di Maktab Mahmud Baling yang merekodkan kes kumulatif sebanyak 30 kes.

Menurutnya, satu lagi kluster adalah Kluster Dah Bukit Awi di Maahad Tahfiz Darul Ansar, Kulim yang mencatatkan sebanyak 26 kes.

"Terdapat tiga kluster baharu yang diisytiharkan hari ini, satu lagi adalah membabitkan kluster industri di Baling.

"Kluster Dah Ketil Industri Baling 2 merupakan kluster baharu bagi kategori industri hari ini dengan kumulatif sebanyak 88 kes," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kelmarin satu kluster institusi pendidikan direkodkan iaitu Kluster Dah Jenan membabitkan Sekolah Menengah (SM) Sultan Abdul Halim di Jitra.

Katanya, kluster itu membabitkan seramai 33 kes positif Covid-19.

Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW terdapat 17 kluster COVID-19 membabitkan kluster pendidikan yang direkodkan di Kedah sejak 11 Januari lalu sehingga hari ini.

Sementara itu, Dr Othman berkata, pihaknya menggalakkan ibu bapa dan pengurusan sekolah untuk menjalankan ujian kendiri Covid-19 terhadap anak atau pelajar mereka yang bergejala selepas negeri ini mencatatkan peningkatan kes jangkitan baharu, dengan kluster pendidikan muncul sebagai salah satu penyumbang terbesar.

"Adalah penting bagi pengurusan sekolah untuk mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan bagi membendung wabak virus dalam kalangan pelajar dan guru," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 11:18 PM