Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Pengambilan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Perak masih dianggap rendah berikutan kurang mendapat sambutan daripada penduduk negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata, setakat ini pemberian dos penggalak membabitkan 711,380 individu iaitu hanya 42.9 peratus.

Menurutnya, tindakan segelintir individu yang menyampaikan maklumat tidak tepat mengenai dos penggalak menjadi antara faktor masyarakat menjadi takut mendapatkan dos berkenaan.

"Dos penggalak (agak) kurang sedikit mendapat sambutan berbanding dos sebelum ini. Ada juga masyarakat terbabit dalam 'troll' (seperti menyindir)... dos penggalak sesuatu merosakkan

(memberi tanggapan negatif dan kurang baik).

"Hanya 42.9 peratus saja atau 711,380 penduduk dewasa yang sudah menerima dos penggalak, belum sampai 1 juta sedangkan (yang menerima) dos lengkap 1.8 juta," katanya selepas majlis pelancaran Operasi Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Perak di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Mohd Akmal berkata, masyarakat diharap dapat menyambut baik usaha kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

"Kerajaan sedang berusaha menyelamatkan dan memutuskan rantaian Covid-19. Kita berharap mereka dapat menghentikan usaha seperti ini supaya usaha kerajaan dapat diteruskan dengan baik," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 197 kes positif Covid-19 dicatatkan daripada kluster pendidikan di negeri ini.

"Terdapat empat sekolah asrama di Ipoh dan Taiping serta dua institusi yang bukan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri di Perak Tengah dan Bagan Datuk direkodkan mempunyai kes Covid-19 baru-baru ini.

"Terdapat kes tertentu yang menjalani kuarantin di rumah namun difahamkan lebih 80 pelajar sebuah sekolah agama di Ipoh akan tamat menjalani kuarantin esok selepas kesemuanya didapati negatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 4:27 PM