Polis melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya di Jalan Kuala Kedah dalam operasi Bersepadu Op Selamat 17/22. FOTO Ihsan Polis
Polis melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya di Jalan Kuala Kedah dalam operasi Bersepadu Op Selamat 17/22. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang lelaki ditahan polis kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi dalam badan ketika Op Selamat 17/22 yang dilancarkan semalam sempena Tahun Baru Cina.

Lelaki berusia 58 tahun itu ditahan dalam sekatan pemeriksaan Op Bersepadu di Jalan Kuala Kedah berhadapan Maktab Mahmud di sini, malam tadi.

Dia yang menetap di Jalan Langgar itu ditahan pada 9 malam ketika pegawai dan anggota JSPT Kedah dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menjalankan tugas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah Superintendan Mohd Mahiri Hussin berkata, hasil pemeriksaan melalui ujian pernafasan menggunakan alat Screening Device (SD) II mendapati lelaki itu positif dengan bacaan 121/100 mililiter (ml).

Beliau berkata, lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Trafik Kota Setar dan menjalani ujian pernafasan kedua menggunakan Evidential Breath Analyzer (EBA) II mendapati kandungan alkohol dalam darah melebihi bacaan 53 mg/100 ml.

"Dia ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Operasi ini turut membabitkan agensi lain seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jalan Alam Sekitar (Jas)," katanya ketika dihubungihari ini.

Dalam pada itu, Mohd Mahiri berkata, sebanyak 105 saman dikeluarkan sepanjang operasi itu mengikut Pol 257 kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Mohd Mahiri berkata, antara kesalahan itu termasuklah tiada lesen 25, nombor pendaftaran (22), ubah suai (17) cukai jalan tamat tempoh (18), Insuran (11), cermin sisi (13) dan brek (5).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 63 saman dikeluarkan terhadap pemandu kereta, 33 penunggang motosikal dan sembilan pemandu van.

Katanya, dalam operasi itu, sebanyak 130 kenderaan diperiksa membabitkan 55 buah kereta, 45 motosikal dan 30 buah van.

"Operasi berakhir pada jam 4 pagi tadi, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 4:20 PM