ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan bekalan barang dan harga di sebuah premis perniagaan di bandaraya Johor Bahru hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan bekalan barang dan harga di sebuah premis perniagaan di bandaraya Johor Bahru hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun RM20,600 daripada 124 kes mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Johor Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, kompaun itu dikeluarkan menerusi pemeriksaan Skim Harga Barang Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) mulai 1 Januari lalu hingga hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 7,373 premis yang diperiksa mulai dalam pemeriksaan itu membabitkan 6,813 perniagaan runcit, 485 pemborong dan 75 pengilang.

"Hasil siasatan dijalankan, kesemua premis dikompaun dan diambil tindakan mengikut AKHAP 2011.

"Seramai 200 anggota penguat kuasa KPDNHEP di negeri ini akan sentiasa memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar bekalan asas dan harian mencukupi bagi menampung keperluan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Hairul Anuar turut menasihati peniaga mematuhi peraturan ditetapkan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka melakukan kesalahan berkaitan bekalan serta harga barangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 2:25 PM