VIDEO tular insiden pergaduhan dipercayai berlaku di kawasan Station 18. FOTO IHSAN PEMBACA
VIDEO tular insiden pergaduhan dipercayai berlaku di kawasan Station 18. FOTO IHSAN PEMBACA
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Station 18 di sini selepas rakaman video insiden itu tular di media sosial, malam tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya hari ini mengesan hantaran yang tular di media sosial membabitkan video pergaduhan yang dikatakan berlaku di pasar raya terbabit.

Beliau berkata, hasil semakan, polis sudah menerima laporan mengenai kes berkenaan pada 11.51 malam tadi berkaitan kejadian rusuhan di hadapan sebuah restoran di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan mendapati punca kejadian akibat salah faham dan tuduhan kecurian telefon bimbit membabitkan seorang lelaki yang tidak dapat dibuktikan.

"Kejadian membabitkan mangsa lelaki yang memandu kereta Perodua Bezza dan dituduh mencuri telefon bimbit.

"Berikutan tuduhan itu, mangsa dikejar suspek sehingga kenderaan dipandu mangsa melanggar kereta lain sebelum berlaku rusuhan membabitkan sekumpulan remaja yang dipercayai bekerja sebagai penghantar makanan.

"Kenderaan mangsa dirosakkan dengan menggunakan kerusi plastik, batu serta kon plastik," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh serta khianat.

"Saki baki suspek yang terbabit sedang dikesan untuk membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil memberi keterangan.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan polis," katanya.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Inspektor Sahridin Saat di talian 011-649 46477 atau di mana-mana balai polis dan ibu pejabat polis daerah yang berhampiran.

Tular di media sosial video berdurasi 52 saat memaparkan beberapa individu mengejar kereta Perodua Bezza sebelum berlaku insiden rusuhan dengan cermin kenderaan mangsa dipecahkan serta kawasan dikerumuni orang ramai yang menyaksikan pergaduhan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 1:59 PM