Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pegawai Tak Tauliah Kanan (PTTK) kini boleh menikmati kemudahan setaraf hotel apabila Wisma Bintara yang bernilai RM30 juta siap sepenuhnya pada 28 Disember lalu.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, PTTK Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kementerian Pertahanan (Mindef) hanya perlu membayar RM50 sebulan untuk penginapan dengan makan dan minum disediakan.

"Wisma setaraf hotel ini menyediakan 200 bilik penginapan yang selesa untuk kemudahan bintara ATM. Ia turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk surau, dewan banquet, gelanggang sukan, gimnasium dan lain-lain.

DATUK Seri Ikmal Hisham(tiga kiri) Datuk Seri Muez (dua kiri) dan Tan Sri Zamrose(dua kanan) menandatangani plat perasmian Wisma Bintara ATM di Padang Tembak. FOTO Saifullizan Tamadi
DATUK Seri Ikmal Hisham(tiga kiri) Datuk Seri Muez (dua kiri) dan Tan Sri Zamrose(dua kanan) menandatangani plat perasmian Wisma Bintara ATM di Padang Tembak. FOTO Saifullizan Tamadi

"Saya percaya, kewujudan Wisma Bintara ATM mampu meningkatkan moral dan menjadi pemangkin kepada lonjakan profesionalisme ATM sebagai benteng utama pertahanan negara. Ini juga komitmen ATM menjaga kebajikan warganya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Wisma Bintara ATM yang terletak berhampiran Mindef di sini, hari ini.

Beliau berkata, kemudahan itu disediakan kepada kira-kira 1,400 PTTK ATM yang belum berumah tangga atau tinggal berjauhan dari keluarga.

"Pembinaan Wisma Bintara ini jelas merupakan suatu manifestasi sokongan jitu serta pengiktirafan pihak kerajaan dan Kementerian Pertahanan terhadap kepentingan ATM sebagai perisai negara, khususnya pengiktirafan kepada bintara yang menjadi tulang belakang ATM dalam memastikan maruah dan kedaulatan negara tidak tercela atau dibolosi musuh.

"Ia sekali gus mendukung aspirasi 'Keluarga Malaysia' yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ia turut mendukung pelan yang digariskan Kementerian Pertahanan iaitu Pelan Strategik Mindef (PSM) serta Pelan Tindakan 2022 (PT 22) yang memberi penekanan terhadap aspek kebajikan anggota ATM serta kakitangan awam," katanya.

Menurutnya, kerajaan dan ATM sentiasa bersifat inklusif dengan mengambil kira pendapat semua lapisan masyarakat agar kesatuan dan kebersamaan dapat diperkukuhkan khasnya bagi mendepani cabaran yang begitu kompleks pada masa kini dan masa akan datang.

"Kementerian Pertahanan menyatakan komitmen untuk menyokong dan membantu menyelesaikan apa jua permasalahan, khususnya hal ehwal kebajikan anggota dengan pendekatan berhemah serta berdasarkan keutamaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 12:28 PM