Hazira Ahmad Zaidi


Tanah Merah: Kira-kira 600 penduduk daripada dua kampung iaitu Kampung Ulu Bertam dan Kampung Air Limau terpaksa menggunakan 'jalan balak' sejauh sembilan kilometer sejak lebih 10 tahun lalu untuk melakukan urusan harian mereka.

Penduduk Kampung Air Limau, Muhammad Khairul Abd Manaf, 37, berkata, keadaan jalan balak di kawasan penempatannya akan menjadi lebih teruk jika hujan lebat disebabkan jalan bukan sahaja berlopak, malah sangat licin sehingga membahayakan keselamatan penduduk.

"Hampir setiap hari terutama ketika hari persekolahan, saya bersama tiga anak berusia di antara enam hingga 14 tahun akan melalui jalan balak ini seawal 6 pagi yang mengambil masa hampir setengah jam untuk sampai ke jalan utama.

"Sepanjang perjalanan pelbagai rintangan perlu ditempuhi disebabkan struktur jalan tidak rata, malah kenderaan saya sering mengalami kerosakan.

PENDUDUK Kampung Ulu Bertam dan Kampung Air Limau, Tanah Merah menggunakan jalan balak sejauh sembilan kilometer sejak lebih 10 tahun lalu untuk melakukan urusan harian mereka. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
PENDUDUK Kampung Ulu Bertam dan Kampung Air Limau, Tanah Merah menggunakan jalan balak sejauh sembilan kilometer sejak lebih 10 tahun lalu untuk melakukan urusan harian mereka. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

"Lebih berisiko terutamanya setiap kali hujan yang menyebabkan jalan licin serta berlumpur dan ada kalanya tidak dapat menghantar ke sekolah," katanya ketika ditemui di Kampung Air Limau, di sini, semalam.

Tinjauan dilakukan mendapati, ketika dalam perjalanan ke kawasan kampung itu, terdapat papan tanda mengenai projek menaik taraf jalan yang sepatutnya siap pada Jun 2018, namun sehingga ke hari ini penduduk terpaksa menggunakan jalan balak yang mendatangkan risiko kepada keselamatan mereka.

Penduduk, Mohd Yusoff Mat Rof, 65, berkata, dia sudah 30 tahun menetap di Kampung Air Limau dan 95 peratus penduduk di kawasan sekitar bekerja sebagai penoreh getah sebagai sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga.

"Setiap kali keluar menoreh getah, saya bersama penduduk perlu lebih berhati-hati ketika menunggang motosikal dan melalui jalan balak ini kerana terdapat banyak lubang besar serta keadaan jalan tidak rata.

"Pernah beberapa tahun lalu, kenderaan milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) terbalik ketika dalam perjalanan untuk menyambung elektrik di kawasan perkampungan kami.

"Sejak kejadian itu pihak luar tidak lagi sanggup masuk ke kawasan ini kerana bimbang dengan risiko keselamatan," katanya.

Sementara itu, Abd Razak Mat Kassim, 60, berkata, dia yang sudah lali dengan keadaan jalan balak di kawasan itu dan amat mengharapkan ada pihak mengambil cakna akan kesusahan dihadapi penduduk.

"Sebelum ini, saya pernah bersemuka dengan pemimpin tempatan di kawasan ini untuk bertanya serta membuat aduan mengenai keadaan jalan yang mendatangkan risiko kepada penduduk, namun tidak mendapat maklum balas.

"Disebabkan keadaan jalan dan bimbang dengan keselamatan selain motosikal sering rosak, saya hanya akan keluar sebulan sekali untuk membeli barang keperluan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 10:57 AM