Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Orang ramai perlu bekerjasama untuk memerangi pandemik Covid-19 menerusi pemerkasaan komuniti susulan gelombang varian Omicron dalam negara, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy menerusi akaun Twitter hari ini berkata, tiada sekatan atau kompaun tinggi akan dilaksanakan sebaliknya rakyat perlu menumpukan perhatian kepada tingkah laku sendiri.

"Pakai pelitup muka terutama di kawasan sesak. #TRIIS. Dapatkan dos penggalak. Sokong #PICKids (vaksinasi untuk kanak-kanak)," menurut ciapan beliau.

Terdahulu, Khairy berkata, gelombang Omicron sudah bermula di Malaysia dan kes Covid-19 dalam negara dijangka meningkat.

Bagaimanapun, beliau dipetik berkata, situasi itu terkawal kerana negara mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan kes Covid-19 dilaporkan hari ini sebanyak 5,439 kes menjadikan jumlah kumulatif 2,850,408 kes, meningkat daripada jumlah direkodkan semalam 4,744 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 5:57 PM