GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Izwan Abdullah


Ranau: Kementerian Pendidikan belum memutuskan untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) baharu atau mengetatkan SOP sedia ada bagi pengoperasian sekolah berikutan peningkatan kes Covid-19 berkaitan institusi pendidikan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin bagaimanapun berkata, pihak kementerian menekankan supaya SOP sedia ada dipatuhi sepenuhnya oleh guru, pelajar dan pentadbir sekolah dalam usaha mencegah penularan Covid-19 di sekolah.

Katanya, pihak kementerian juga meneliti laporan PPD berhubung isu Covid-19 dari semasa ke semasa selain bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani perkara itu.

"Apa yang penting ketika ini ialah semua pihak perlu menjaga SOP, khususnya pentadbir sekolah, guru dan pelajar kerana keutamaan kita ialah kesihatan dan keselamatan pelajar," katanya selepas meninjau tapak baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mesilou, Kundasang, di sini, hari ini.

Sepanjang minggu lalu hingga hari ini, 10 kluster baharu berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah, termasuk tiga dilaporkan hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata SMK Kundasang dan SK Mesilou yang terletak bersebelahan destinasi pelancongan terkenal Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu, di sini, akan dijadikan sekolah hab pelancongan di negara ini.

Katanya, cadangan ke arah itu akan dilaksanakan selepas kerja pembinaan bangunan baharu SMK Kundasang dan menambah baik kemudahan di SK Mesilou selesai.

Pembinaan bangunan baharu SMK Kundasang sebelum ini dianggarkan menelan kos lebih RM40 juta.

Apabila siap, Mohamad berkata, sekolah itu mampu menampung sehingga 900 pelajar, selain akan dilengkapkan dengan kemudahan asrama dengan kapsiti 350 pelajar dalam fasa kedua projek pembinaannya.

Pihaknya turut bersetuju menyalurkan peruntukan untuk membina pagar yang dilihat antara keperluan utama perlu dilaksanakan di SK Mesilou.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 5:11 PM