PLAZA Tol Lok Yew Lebuh raya Besraya. FOTO arkib NSTP
PLAZA Tol Lok Yew Lebuh raya Besraya. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Warga kota yang ingin pulang ke kampung masing-masing sempena perayaan Tahun Baharu Cina dinasihat merancang perjalanan seperti disaran pihak pengendali lebuh raya.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, pihak konsesi lebuh raya akan mengeluarkan cadangan pergerakan kepada pengguna jalan raya.

"Berdasarkan statistik semasa sebanyak 4.6 juta pengguna jalan raya yang menggunakan 30 lebuh raya di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, 1.2 juta mengguna Lebuhraya PLUS setiap hari, jadi kita nasihatkan pengguna untuk merancang perjalanan mereka bagi memastikan aliran trafik lancar," katanya ketika ditemui selepas tamat Op Lancar di sini, hari ini.

Terdapat beberapa jangkaan tarikh pengguna pulang semula ke Lembah Klang iaitu 1, 2 atau 3 Februari sehingga 6 Februari.

Justeru, pengguna disaran mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui medium media sosial seperti Twitter dan Facebook yang akan memuat naik jadual perjalanan disarankan.

Masyarakat Cina di negara ini menyambut perayaan Tahun Baharu Cina pada 1 dan 2 Februari, selain cuti hujung minggu bermula Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 1:36 PM