PETIKAN video yang tular.
PETIKAN video yang tular.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis belum menerima sebarang laporan berhubung video tular membabitkan lelaki berlagak samseng dengan menghalang kereta lain di Setia Alam dekat sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian itu dipercayai berlaku berdekatan pangsapuri di Jalan Setia Gemilang U13/45B.

Katanya, menerusi rakaman yang tular itu, lelaki yang memandu Proton Perdana dilihat menghalang laluan kereta pemandu lain.

"Pihak polis mendapati tiada sebarang laporan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian itu setakat ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diharap tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan selanjutnya dapat dijalankan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Terdahulu, rakaman memaparkan pemandu kereta memotong barisan berhampiran persimpangan lampu isyarat tular di Twitter.

Difahamkan, pemandu berkenaan tidak berpuas hati apabila cubaannya untuk memotong tidak berjaya seterusnya mengejar kereta mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 12:00 PM