Oleh Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Tinggal 45 peratus daripada 11.3 hektar kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebal, dekat sini yang terbakar dalam kejadian 12 Januari lalu perlu dipadamkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar, berkata sehingga kini 55 peratus kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi pemadaman masih diteruskan.

Katanya, pihaknya tidak mempunyai jangkaan tepat bila proses pemadaman akan selesai namun berharap ia akan diselesaikan segera.

"Kita mempunyai perancangan rapi dalam menjalankan operasi pemadaman ini dan sudah selesai membuat 'fire break' supaya api tidak merebak.

"Proses pemadaman ini menggunakan air dan tanah yang dihantar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) secara berperingkat.

"Sehingga kini, terdapat kira-kira 50 ke 60 lori yang membawa tanah setiap hari masuk ke tapak pelupusan sampah yang jika banyak lagi tanah dibawa masuk maka akan lebih cepat proses pemadaman selesai," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan situasi di tapak pelupusan sampah Pulau Burung.

Terdahulu, beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Keluarga Malaysia dan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) Sempena Sambutan Tahun Baru Cina di sebuah pusat beli belah di Alma, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah Pulau Burung dilaporkan terbakar hingga menyebabkan kualiti udara dekat situ terjejas dan memberi risiko terhadap kesihatan.

Berikutan itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi memindahkan penduduk dari Kampung Kebun Baru dan Ladang Byram yang terjejas.

Dalam perkembangan lain, Saadon berkata, statistik kebakaran, penyelamatan dan khidmat khas 24 jam di Pulau Pinang pada tahun lalu menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya dari segi jumlah kes, kematian atau kecederaan.

Menurutnya, sebagai contoh, kes kebakaran yang membabitkan bangunan, belukar dan lain-lain berkurangan daripada 54 kes pada tahun 2020 kepada 51 kes tahun lalu.

"Bagi kes-kes berkaitan penyelamatan turut berkurang daripada 76 kepada 59 kes sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes pada tahun lalu berkurangan daripada 154 kepada 119 kes.

"Untuk Op Selamat pada tahun lalu juga tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kematian berbanding pada tahun 2020 iaitu masing-masing sebanyak dua kecederaan dan kematian," katanya.

Saadon Mokhtar melakukan pemeriksaan laluan keluar ketika kecemasan pada majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Keluarga Malaysia dan  Menghapuskan Bahaya Kebakaran (MBK) sempena Sambutan Tahun Baru Cina di AEON Mall Bukit Mertajam di sini. FOTO DANIAL SAAD
Saadon Mokhtar melakukan pemeriksaan laluan keluar ketika kecemasan pada majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Keluarga Malaysia dan Menghapuskan Bahaya Kebakaran (MBK) sempena Sambutan Tahun Baru Cina di AEON Mall Bukit Mertajam di sini. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 6:12 PM