AMINUDDIN Harun pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
AMINUDDIN Harun pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri sudah menyalurkan lebih daripada RM5.6 juta kepada 5,671 ketua isi rumah (KIR) dalam kalangan mangsa banjir di negeri ini setakat ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri juga sudah bersetuju untuk menyalurkan bantuan RM1,000 kepada setiap penternak dan petani kecil yang terkesan dengan bencana terbabit Disember lalu.

Kata beliau, 490 individu dikenal pasti layak menerima bantuan berkenaan dan RM490,000 akan disalurkan kepada penerima menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kawasan masing-masing secepat mungkin.

"Jumlah RM5.6 juta bantuan kepada KIR mangsa banjir itu tidak termasuk 490 penternak dan petani kecil yang turut terkesan.

"Sumbangan RM1,000 setiap seorang ini diharap dapat membantu meringankan beban ditanggung. Memang kita tidak mampu hendak ganti sepenuhnya kerugian yang dialami penternak dan petani kecil ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga meluaskan bentuk bantuan kepada mangsa dengan mengecualikan bayaran bagi geran tanah yang rosak atau hilang kerana dibawa arus air banjir.

Beliau berkata, pengecualian itu membabitkan permohonan bagi bayaran carian rasmi, pendaftaran hak milik, pendaftaran surat akuan dan notis dengan keseluruhannya berjumlah RM130.

"Bagaimanapun, bagi pembayaran kepada Kerajaan Persekutuan iaitu membabitkan warta (RM60) dan ukur (RM10), ia tidak dapat dikecualikan.

"Namun usaha akan dilakukan agar bayaran berkenaan dapat dikecualikan sebagai langkah meringankan beban mereka," katanya.

Menurut beliau, RM22.5 juta nilai kerugian dialami sektor agro makanan di Negeri Sembilan susulan banjir.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga mengecualikan 100 peratus denda lewat cukai petak bagi tahun lalu membabitkan 23,236 hak milik yang masih belum menjelaskan cukai berkenaan berjumlah RM117,241.

"Keputusan juga dibuat untuk mengecualikan bayaran bagi permohonan pengeluaran salinan surat nikah, cerai dan rujuk Negeri Sembilan bagi pasangan yang terjejas banjir.

"Tawaran ini hanya terbuka kepada pasangan yang sudah mendaftar perkahwinan, cerai dan rujuk di negeri ini sahaja dan permohonan diterima sehingga 31 Mac 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 5:54 PM