Ismail Sabri menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Kastam Sedunia ke 40, di Kompleks Kastam, Kelana Jaya. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ismail Sabri menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Kastam Sedunia ke 40, di Kompleks Kastam, Kelana Jaya. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Yusmizal Dolah Aling


Kelana Jaya: Kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencecah RM42.50 bilion pada tahun lalu, melepasi sasaran awal RM40 bilion yang ditetapkan Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain kejayaan kutipan hasil, tahun 2021 juga menyerlahkan keunggulan sektor penguatkuasaan JKDM apabila berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion.

Justeru katanya, beliau yakin JKDM akan terus bergerak maju sebagai petugas barisan hadapan ekonomi yang berupaya memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ke arah menyuburkan kemakmuran Keluarga Malaysia.

"Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh pegawai dan anggota JKDM atas kejayaan cemerlang yang diraih, walaupun kita masih berdepan dengan ketidaktentuan global khasnya ancaman pandemik Covid-19 dan bencana alam," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke - 40 Tahun 2022 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, tema sambutan Hari Kastam iaitu Memperluas Transformasi Digital Kastam Melalui Pemerkasaan Budaya dan Ekosistem Data tahun ini amat relevan dengan situasi semasa.

Menurutnya, ia bertepatan dengan usaha memodenkan perkhidmatan serta operasi JKDM ke arah mencorak persekitaran perniagaan yang kondusif sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan peniaga dan pelabur, sama ada di lapangan domestik atau antarabangsa.

"Perkembangan teknologi digital, khususnya dalam sektor perkongsian data serta maklumat, adalah platform yang penting dan diaplikasikan secara meluas dalam meneruskan kelangsungan perkhidmatan awam, terutamanya dalam mendepani pandemik Covid-19 yang melanda.

"Sebagai sebuah jabatan yang dinamik dan mampan, JKDM perlu memastikan segenap warga kastam celik digital dan sentiasa bersedia untuk mengadaptasi transformasi teknologi semasa dalam membina serta membudayakan ekosistem data," katanya.

Menurutnya, anjakan itu adalah selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (Jendela) dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang dianjurkan kerajaan ke arah memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital yang cekap dan proaktif, seterusnya mencorak sebuah negara bangsa yang berpendapatan tinggi.

Katanya, hasrat menggerakkan transformasi digital dalam perkhidmatan awam ini juga bukanlah suatu perkara baharu yang asing, malah digariskan dengan jelas dalam Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021–2025 ke arah memartabatkan ketelusan dan memperkasa kecekapan dalam urusan perkhidmatan.

Ismail Sabri berkata, ia juga termaktub dalam Tujuh Teras Strategik Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta turut dirangkum dalam memeta halatuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dilancarkan pada September lalu.

Katanya, usaha World Customs Organization (WCO) melalui JKDM dalam menghidupkan tema sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 ini wajar dipuji dan terus dilaksana kerana inisiatif ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan ranking 'Ease of Doing Business' bagi Malaysia, yang seterusnya dapat memangkin pelaburan asing.

"Saya percaya suntikan transformasi digital melalui pemerkasaan budaya dan ekosistem data dalam urusan perkhidmatan dan operasi JKDM mampu memperkasa prestasi jabatan ini sekali gus mencorak Malaysia sebagai sebuah negara maju yang kompetitif dan berdaya saing.

"Kerajaan juga sentiasa berusaha membantu JKDM untuk terus fokus dalam membanteras penyeludupan dan memudah cara perdagangan ke arah meningkatkan pungutan hasil dan memantapkan lagi kawalan sempadan negara.

"Komitmen ini terbukti melalui penambahan bot peronda dan mesin pengimbas sebagai aset baharu JKDM bagi memantapkan kedaulatan perbatasan dan berupaya melancarkan aktiviti perdagangan rentas sempadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 5:40 PM