Amar Douglas.
Amar Douglas.
BERNAMA

Kuching: Kerajaan Sarawak menyumbang sebanyak RM1.3 juta bagi menyediakan sebanyak 36 kemudahan ventilasi (ventilation point) di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS).

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemudahan tersebut yang siap dipasang telah mula digunakan di wad ICU hospital berkenaan.

"Kita pernah amat kekurangan ventilation point ini suatu masa dulu dan sebab itulah kerajaan negeri membantu hospital ini membinanya," katanya selepas melawat wad ICU HUS di sini, hari ini.

Uggah berkata, selepas ini pihaknya juga akan membantu membina wad hybrid ICU di hospital itu.

"Saya baharu tadi diberitahu kerjanya (pembinaannya) akan dimulakan pada Februari ini bagi membolehkan hospital ini mempunyai tambahan 10 katil ICU," katanya.

Uggah berkata, tambahan katil ICU itu adalah sebagai persediaan sekiranya kes Covid-19 di negeri ini kembali meningkat.

"Kami hanya bersedia bagi menghadapi situasi yang terburuk, ketika ini setiap hari bilangan (kes Covid-19 kita amat rendah berbanding September (2021)," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut bersetuju membantu memasang paip gas di hospital itu yang kosnya sekitar RM500,000 bagi menambah 40 katil pesakit di HUS.

Beliau juga mengesahkan hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah ditutup di HUS dan di hospital utama lain negeri ini setelah tiada keperluan mewujudkannya semula berikutan kes Covid-19 yang semakin berkurangan.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat negeri ini untuk mendapatkan suntikan dos penggalak dan terus mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika menyambut perayaan Tahun Baharu Cina ini nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 5:40 PM