KLUSTER Embi Telipot membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH  NIK OMAR
KLUSTER Embi Telipot membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berpendapat kawalan kendiri dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) adalah langkah penting bagi membendung penularan Covid-19 dan peningkatan kluster pendidikan ketika ini.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, sekolah perlu meningkatkan disiplin dan kawalan terutama pematuhan SOP, menjaga penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan sentiasa membasuh tangan.

"Ibu bapa perlu berikan kerjasama baik kepada pihak sekolah terutama jika pulang dari luar negara dan tidak menyembunyikan kes jika anak dikesan terkena jangkitan Covid-19.

"Perkara ini penting supaya pihak sekolah boleh mengambil langkah kawalan untuk mengelakkan risiko kepada komuniti sekolah seperti guru, kakitangan dan pelajar lain," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, penutupan sekolah perlu merujuk kepada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, pihak sekolah perlu memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Pendidikan Daerah jika terdapat pelajar disahkan positif Covid-19.

"Disiplin tinggi terhadap SOP untuk memastikan persekitaran sekolah selamat terutama bagi memudahkan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat persediaan dan melalui peperiksaan besar ini dengan selamat.

"Ia terutama ujian bertutur dan mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada Februari ini.

"Pada fasa endemik ini, kawalan diri amat penting terutama kemunculan varian baru seperti Omicron yang cepat tersebar," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan dalam beberapa kategori kluster jangkitan Covid-19 terutama kluster pendidikan sepanjang tempoh minggu lalu membimbangkan KKM.

Peningkatan mendadak sebanyak 313.3 peratus dalam kluster pusat pendidikan amat membimbangkan berikutan individu daripada pelbagai isi rumah akan berada dalam ruang dan waktu sama berisiko menyebabkan tercetusnya kluster tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 4:08 PM