Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kertas siasatan berhubung kes seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak yang positif dadah sudah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kertas siasatan itu dikembalikan semula kepada polis untuk beberapa tindakan susulan.

"Ketika ini, siasatan kes sudah lengkap, tetapi kita masih menunggu laporan daripada pakar patologi berikutan ia elemen penting bagi kes.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mustafa Kamal berkata, selain Adun itu, pihaknya turut menunggu laporan patalogi bagi 35 lagi suspek yang ditahan pada hari kejadian.

Media sebelum ini melaporkan, Adun Pasir Bedamar ditahan di sebuah kelab malam di Perai dekat sini ketika serbuan polis pada 9 malam, 13 Januari lalu dan ujian air kencing dilakukan mendapati beliau positif dadah.

Dalam serbuan oleh Jabatan Integriti dan pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman itu, keseluruhan 48 individu yang ditahan dan 36 orang berkait dadah, manakala 12 lagi kesalahan jenayah.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 6:19 PM