Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dalam tempoh empat jam, dua kes samun berlaku di daerah ini, semalam yang membabitkan kerugian lebih RM18,000.

Ketua Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian pertama berlaku pada 3 pagi di tempat letak kereta di sebuah pusat hiburan, membabitkan mangsa lelaki berusia 45 tahun.

Katanya, mangsa yang berjalan ke kereta bersama rakan didatangi sekumpulan lelaki yang bertindak memukul mereka dengan botol kaca.

"Suspek kemudian menyamun mangsa dan turut meragut rantai emas yang dipakai. Mangsa mengalami cedera di muka, mata dan telinga.

"Kedua-dua mereka membuat laporan di Balai Polis Penampang dan kerugian dianggarkan RM18,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kes kedua berlaku pada 7 pagi yang membabitkan pelajar berusia 19 tahun.

"Mangsa disamun seorang lelaki ketika menunggu pengangkutan di Api-Api Centre, yang menyebabkan dia kerugian RM70 serta dokumen peribadi hilang," katanya.

Menurutnya, mangsa turut cedera di leher akibat diserang suspek yang melarikan diri menggunakan Perodua Viva hitam dengan nombor pendaftaran palsu.

Beliau meminta saksi yang mempunyai maklumat kedua-dua kejadian untuk tampil membantu siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Maklumat boleh disalur kepada pegawai penyiasat Inspektor Mohamed Anwar Mohamed Jamil di talian 013-4274631 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 12:45 PM