NURULAINA dan suaminya mengenakan busana pengantin ketika Majlis Konvokesyen UniSZA, hari ini. FOTO Ihsan UniSZA.
NURULAINA dan suaminya mengenakan busana pengantin ketika Majlis Konvokesyen UniSZA, hari ini. FOTO Ihsan UniSZA.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menarik perhatian ramai apabila mengenakan busana perkahwinannya di majlis konvokesyen universiti itu hari ini.

Nurulana Haimi, 25, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dengan Kaunseling tampil dengan persalinan pengantin rona putih, sedondon dengan suaminya, Mohd Abdul Jabbar Mohd Zain, 28.

Katanya, dia mengenakan persalinan itu untuk memenuhi permintaan rakan sekuliah yang berhasrat meraikan perkahwinannya secara bersemuka pada hari graduasi mereka.

"Saya kahwin November tahun lalu di Kelantan tapi masa itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiada majlis diadakan kerana mengikut SOP ditetapkan.

"Rakan sekuliah semua tidak dapat hadir sebaliknya hanya melihat gambar pernikahan kami di media sosial.

Jadi hari ini kami tak keberatan mengenakan semula busana pengantin untuk meraikan bersama mereka," katanya.

Menurutnya, mereka mahu merakamkan gambar kenangan dengan pakaian itu bersama rakan yang hadir Majlis Konvokesyen UniSZA ke-17.

"Mujurlah baju ini kami beli dan bukannya sewa, jadi tiada masalah untuk pakai semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 12:24 PM