GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 1,494 pelajar sekolah di seluruh negeri ini dijangkiti Covid-19 antara 1 Januari hingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo, berkata pelajar berusia antara tujuh hingga 18 tahun itu dilaporkan stabil selepas menjalani rawatan.

"Seramai 1,493 kes atau 99.9 peratus pelajar berada pada kategori satu dan dua, manakala 0.1 peratus atau satu kes pada kategori tiga.

"Sebanyak 915 kes atau 61.2 peratus masih lagi dirawat, manakala 579 kes atau 38.8 peratus termasuk seorang pelajar yang berada pada kategori tiga sudah sembuh," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Othman berkata, setakat ini tiada pelajar yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan.

Katanya, pelajar ini ada yang dirawat di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan menjalani kuarantin di rumah.

Sementara itu, beliau memaklumkan seramai 90 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulim disahkan positif Covid-19 membabitkan Kluster Dah Sungai Balak pada Sabtu lalu.

"Terdapat satu lagi kluster pendidikan iaitu Kluster Dah Mutiara Naga membabitkan sebuah tadika swasta di Kubang Pasu turut dikesan pada Sabtu lalu.

"Seramai 41 kes dilaporkan positif Covid-19 membabitkan kluster berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan 11 kluster berkaitan pendidikan di negeri ini," katanya.

Setakat semalam, terdapat 10 kluster berkaitan pendidikan dilaporkan berlaku di seluruh negeri Kedah membabitkan pelajar dan guru.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 10:49 AM