Annuar (tiga, kanan) membaca surah Yasin ketika Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin bagi memohon kesembuhan buat Tun Dr Mahathir yang sedang dirawat di IJN, di Masjid Muhammad RTM Angkasapuri malam ini. FOTO Bernama
Annuar (tiga, kanan) membaca surah Yasin ketika Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin bagi memohon kesembuhan buat Tun Dr Mahathir yang sedang dirawat di IJN, di Masjid Muhammad RTM Angkasapuri malam ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menyertai lebih 50 jemaah menunaikan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat bagi mendoakan kesihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Masjid Muhammadi Angkasapuri di sini, malam ini.

Turut menyertai majlis anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) itu Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia Prof Dr Md Nasir Ibrahim serta pengurusan tertinggi dan kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Majlis yang dipimpin imam satu masjid berkenaan Ustaz Mohd Fadhli Md Desa, dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat serta solat Isyak.

Solat berkenaan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara termasuk penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka ketika solat.

Semalam, anak Ahli Parlimen Langkawi itu Datin Paduka Marina memaklumkan keadaan bapanya yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Januari lalu.

Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif berkenaan yang dikendalikan sepasukan doktor daripada institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 10:43 PM