GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Polis giat memburu enam lelaki Rohingya kerana dipercayai memukul mangsa yang juga suspek kes samun dalam kejadian Kampung Pauh Badang, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada Jumaat lalu mendakwa anaknya berusia 30 tahun dipukul sekumpulan lelaki sebelum ditahan polis.

Katanya, ibu mangsa menyedari kejadian selepas melawat anaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas direman selama tujuh hari bermula 19 sehingga 25 Januari ini untuk membantu siasatan.

"Berdasarkan laporan, mangsa dipukul oleh sekumpulan lelaki Rohingya di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Mangsa yang mengalami kecederaan patah tangan dan kaki kanan kemudian mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Shafien berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang menjejaki kumpulan lelaki Rohingya berkenaan.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan menyerahkan suspek jenayah yang ditangkap kepada polis tanpa melakukan sebarang tindakan yang mendahului pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 2:35 PM