Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: "Ijazah sarjana itu ialah kenangan dan peninggalan terakhir paling bermakna arwah suami kepada saya," kata Nor Hidayu Abdul Wahab.

Hidayu, 30, dari Kampung Bukit Payung mewakili arwah suaminya, Mohd Huzir Mohamed, 35, menerima Ijazah Sarjana Pengurusan dan Perniagaan pada Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.

Allahyarham Mohd Huzir meninggal dunia pada 18 Ogos tahun lalu kerana serangan jantung ketika berehat di rumah.

HIDAYU mewakili arwah suaminya menerima Ijazah Sarjana Pengurusan dan Perniagaan pada Konvokesyen UniSZA di sini, hari ini. FOTO Ghazali Kori
HIDAYU mewakili arwah suaminya menerima Ijazah Sarjana Pengurusan dan Perniagaan pada Konvokesyen UniSZA di sini, hari ini. FOTO Ghazali Kori

Hidayu berkata, dia berasa sedih kerana hasrat suaminya untuk menaiki pentas menerima ijazah sarjana sambil disaksikannya tidak kesampaian.

"Arwah suami ada memberitahu mengenai keterujaannya menghadiri konvokesyen bersama saya bagi menerima ijazah sarjana berkenaan.

"Dia berasa bangga kerana akan menerima ijazah sarjana itu sambil disaksikan saya, namun kami hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan semuanya," katanya.

Katanya, dia begitu merindui arwah suaminya dan kejayaannya menamatkan pengajian ijazah sarjana turut memberi inspirasi kepadanya.

"Suami merancang untuk belajar hingga ke tahap Doktor Falsafah (Phd), namun apa daya perjuangan hanya sampai di sini. Sebagai isteri, saya berasa bangga dengan pencapaiannya itu," katanya.

Menurutnya, suaminya berkhidmat di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang sebelum menyambung pengajian di UniSZA.

"Saya berkahwin dengan suami pada 18 Ogos 2018 dan suami meninggal pada hari ulang tahun perkahwinan kami yang keempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 1:45 PM