Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Empat negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt melebihi bacaan nilai Rt Malaysia iaitu 1.07 berdasarkan kes yang dilaporkan semalam.

Negeri Sembilan mencatatkan nilai Rt 1.13 diikuti Kuala Lumpur (1.09), Kedah (1.09) dan Melaka (1.08).

Menerusi jadual yang dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media hari ini, negeri Johor pula mencatatkan nilai Rt 1.07.

Sementara, Putrajaya mencatatkan nilai Rt 1.04 diikuti Selangor (1.03), Pulau Pinang (1.03), Sabah (1.00), Kelantan (0.99), Pahang (0.97), Perak (0.97), Terengganu (0.79), Perlis (0.00), Sarawak (0.00) dan Labuan (0.00).

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai supaya terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan.

"Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat); amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear, and Warn); Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup.

"Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan; amalkan TRIIS (lakukan uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera) sebelum menghadiri aktiviti sosial atau sekiranya bergejala.

"Dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius dan bilangan kes kematian sekali gus membina imuniti kelompok," katanya.

Beliau berkata, pengambilan vaksin dan dos penggalak dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan Covid-19.

Katanya, dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi dapat dilindungi.

"Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita. Bagi yang langsung belum menerima vaksin namun tidak pernah dijangkiti Covid-19, anda kini berada dalam kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan Covid-19.

"Nasihat KKM, segeralah mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19. Bagi yang sudah mendaftar, KKM memohon anda hadir ke temu janji demi melindungi diri anda dan orang tersayang.

"KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 9:59 PM