MESYUARAT khas antara Pas Kelantan dengan Umno di kediaman Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, hari ini. FOTO FB Ahmad Yakob
MESYUARAT khas antara Pas Kelantan dengan Umno di kediaman Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, hari ini. FOTO FB Ahmad Yakob
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Tidak sampai beberapa jam Umno Kelantan membuat keputusan tidak lagi bersama dengan Pas negeri, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menegaskan Pas masih mengekalkan hubungan dengan parti itu.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan, hubungan Pas dengan Umno Kelantan itu dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

"Pas negeri masih mengekalkan hubungan dengan Umno Kelantan sehingga PRU-15.

"Keputusan ini dibuat semasa perjumpaan dengan Biro Politik Umno petang tadi," katanya.

Dua gambar turut dimuat naik di FB berkenaan yang memaparkan mesyuarat khas antara Pas dan Umno.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, Umno Kelantan tidak lagi bersama dengan Pas negeri melalui Muafakat Nasional (MN) yang berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, Umno membuat keputusan itu berikutan Pas Kelantan yang masih menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tetap memilih parti itu untuk menghadapi PRU-15.

"Keputusan berkenaan mencapai kata sepakat daripada ahli Umno negeri selepas mengadakan mesyuarat khas dengan Pas negeri di kediaman rasmi Menteri Besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 10:00 PM