Ahmad (kiri) menyampaikan sumbangan kepada nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka. FOTO NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
Ahmad (kiri) menyampaikan sumbangan kepada nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka. FOTO NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pusat tahfiz atau pondok dekat Bachok yang didakwa bercanggah dengan ajaran Islam tidak dibenarkan beroperasi sekiranya didapati melanggar peraturan pihak berkuasa negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheik).

"Isu pondok berkenaan sedang dalam penelitian dan siasatan Jaheik. Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa negeri untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

"Memang terdapat dakwaan mengatakan pembelajaran di pondok berkenaan bercanggah daripada ajaran Islam dan aduan sudah dibuat oleh pemilik tanah berkenaan.

"Saya jangkakan masalah berkenaan akan diselesaikan dalam masa terdekat. Pondok berkenaan perlu ditutup sekiranya didapati bercanggah dengan ajaran Islam dan pelajar di pondok itu perlu mencari tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada nelayan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka, di sini, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, berhubung pertikaian pemilikan premis berkenaan, ia bergantung kepada pemilik tanah untuk menentukannya.

Semalam media melaporkan, kerajaan negeri sedang meneliti dan menunggu laporan berhubung pusat tahfiz yang dipercayai bercanggah dengan ajaran Islam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan yang sedang dibuat oleh Jaheik dan memandang serius mengenai perkara ini dan ia dikatakan ada sesuatu pendekatan yang agak bercanggah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 7:04 PM