Murid perempuan yang terjatuh daripada koridor tingkat satu bangunan SK Long Bemang, Marudi pada Khamis lalu. FOTO MELVIN JONI
Murid perempuan yang terjatuh daripada koridor tingkat satu bangunan SK Long Bemang, Marudi pada Khamis lalu. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni

Kuching: Pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang di Marudi akan ditender semula pada Februari nanti.

Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata ia sebagai langkah segera bagi memastikan bangunan sekolah yang sudah usang itu selamat digunakan.

Menurutnya, projek itu telahpun ditender pada tahun lepas tetapi tidak berjaya.

"Projek itu telah diluluskan di bawah Projek Sekolah Daif dengan anggaran kos sebanyak RM6 juta dan ditender pada tahun 2021.

"Tetapi memandangkan proses tender sebelum itu tidak berjaya, maka ia akan ditender semula pada Febuari tahun ini," katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan insiden membabitkan seorang murid Tahun 3 sekolah berkenaan yang terjatuh daripada daripada koridor sekolah itu pada Khamis lepas.

Justeru, Roland berkata semua sekolah di negeri ini telah diminta untuk mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelak daripada berlakunya insiden yang tidak diingini.

"Saya mahu semua sekolah di Sarawak mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan pelajar, guru, staf sokongan dan pelawat adalah terjamin," katanya.

Sementara, beliau berkata murid perempuan berusia sembilan tahun yang terjatuh daripada koridor sekolah terbabit hanya mengalami kecederaan ringan.

Roland berkata, murid itu telah dibawa ke hospital bagi menerima rawatan sebelum dibenarkan keluar selepas itu.

Dilaporkan murid terbabit terjatuh daripada koridor tingkat satu yang telah reput dan usang kira-kira jam 10 pagi ketika waktu rehat.

Mangsa kemudian segera dihantar ke Hospital Miri oleh pihak sekolah untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 6:40 PM