Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (kanan) menyampaikan sumbangan replika cek bernilai RM54,600 kepada Jannah di Ibu Pejabat JBPM. FOTO BERNAMA
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (kanan) menyampaikan sumbangan replika cek bernilai RM54,600 kepada Jannah di Ibu Pejabat JBPM. FOTO BERNAMA
Samadi Ahmad

Putrajaya: Isteri kepada Allahyarham Mohd Firdaus Sulaiman, 32, anggota bomba yang terkorban dalam usaha memadam kebakaran di sebuah kilang di Johor pada 11 Disember lalu, berhasrat membina sebuah rumah kampung bagi menunaikan impian arwah.

Nurul Jannah Abd Hamid Khan, 29, menyuarakan perkara itu selepas menerima insentif dari Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjumlah RM190,500, hari ini.

Ia membabitkan pemberian insentif RM54,600 melalui Kesatuan Pekerja dan Penyelamat Semenanjung Malaysia, Skim Takaful Berkelompok JBPM (RM51,000) dan Koperasi JBPM (RM84,900).

Nurul Jannah berkata, rumah impian arwah suaminya yang pernah bertugas di Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Baru di Segamat, Johor itu akan dibina di Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah, Melaka.

Menurutnya, arwah suaminya memang meminati kediaman yang dibina dalam suasana kampung dan hasrat itu dinyatakan arwah kepada ahli keluarga sebulan sebelum meninggal dunia.

Katanya, ketika ini proses meratakan tanah sedang berjalan di lokasi yang sudah di kenal pasti untuk mendirikan rumah itu dan pembinaannya akan bermula dalam masa terdekat.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JBPM kerana banyak membantu menyegerakan proses mendapatkan insentif arwah," katanya ketika ditemui selepas menerima insentif itu yang disampaikan Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, hari ini.

Insentif itu disampaikan ketika Majlis Perbarisan Tahunan JBPM di Ibu Pejabat JPBM di sini yang turut dihadiri ibu arwah, Noorlina Abdullah, 66.

Nurul Jannah berkata, selain menggunakan wang insentif itu untuk membina rumah impian arwah, sebahagiannya lagi digunakan bagi tujuan pendidikan anak tunggal perempuan mereka, Aisy Alisha, 3.

Pada 11 Disember lalu, Mohd Firdaus meninggal dunia di Hospital Segamat ketika menerima rawatan akibat kecederaan dalam usaha memadam kebakaran di Kilang Habuk Papan, di Segamat.

Arwah yang berkhidmat sejak 2013 parah akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran dan meninggal dunia pada 4.15 pagi di Hospital Segamat.

Sementara itu, Noorlina berkata, pemergian anak ketiga dari lima beradik itu satu kehilangan besar buat mereka sekeluarga dan bagi mengabdikan kenangan, mereka akan bina rumah impian arwah itu.

"Alhamdulillah, kami juga sudah laksanakan badal haji untuk arwah dan kami terima suratan takdir ini dengan rela," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 6:06 PM