GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Polis menahan lapan warga tempatan dan seorang warga asing yang dipercayai terbabit dalam kes pemerdagangan manusia menerusi serbuan di sebuah pusat hiburan serta sebuah unit kediaman di ibu negara, Isnin lalu .

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pada jam 12.20 tengah malam, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang remaja mendakwa dia dan pekerja ibunya diculik tiga individu.

Menurutnya, remaja itu mengadu bahawa pekerja kepada ibunya iaitu seorang wanita warga asing dilarikan dua lelaki tempatan dan seorang wanita asing.

"Kejadian berlaku semasa pengadu bersama mangsa berada di Damansara Utama. Mereka didatangi sebuah kenderaan mewah yang berhenti secara mengejut.

"Suspek menarik pengadu bersama mangsa masuk ke dalam kenderaan itu dan menekup mulut mereka.

"Suspek kemudiannya melepaskan pengadu tidak jauh dari tempat kejadian tetapi melarikan mangsa ke lokasi tidak dapat dipastikan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Bertindak atas aduan dan risikan, katanya, pada hari sama iaitu jam 5.30 pagi, pihaknya melaksanakan serbuan dan tangkapan ke atas dua lelaki tempatan berumur lingkungan 20 tahun berdekatan sebuah pusat hiburan di ibu negara.

Menurutnya, soal siasat membawa kepada serbuan di unit pangsapuri perkhidmatan yang terletak di dalam sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

"Hasil serbuan dan pemeriksaan membawa kepada penemuan mangsa selain empat lagi wanita dan seorang lelaki warga asing berumur antara 20 hingga 40 tahun.

"Semua mangsa mengalami kecederaan fizikal selepas dikurung di dalam beberapa bilik.

"Mangsa turut dikawal oleh empat lelaki dan dua wanita tempatan selain seorang lelaki asing yang berumur antara 20 hingga 50 tahun," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek adalah ejen pekerja asing yang memperdaya mangsa untuk bekerja tanpa bayaran gaji.

Katanya, suspek menangkap, mengurung dan memukul mangsa kerana melarikan diri dari majikan.

"Semakan rekod lampau mendapati tiga daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah dan rekod jenayah komersil.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kenderaan mewah yang digunakan semasa melarikan mangsa, 15 telefon bimbit pelbagai jenama, enam keping kad akses masuk ke unit pangsapuri perkhidmatan atas nama hotel berkenaan dan 34 keping kad sim pakai buang.

"Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari dan kes disiasat di mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dan mengurung dengan salah," katanya.

Mohamad Fakhruddin berkata, mangsa yang diselamatkan sudah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 5:54 PM