GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Rakyat khususnya ibu bapa dinasihatkan tidak bimbang terhadap program pemberian vaksin kanak-kanak (PICK Kids) berusia antara lima hingga 11 tahun yang dijadualkan bermula awal Februari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, usaha ini bertujuan melindungi golongan ini berikutan rakyat khususnya ibu bapa sudah bergerak bebas, merentasi sempadan negeri dan pergi bercuti, sedangkan anak-anak belum divaksin.

Katanya, walaupun kanak-kanak dikatakan berisiko rendah mengalami jangkitan Covid-19, namun ada di antara mereka mempunyai gejala teruk dan dimasukkan ke hospital serta dibimbangi berlaku kematian.

"Berdasarkan data dari Januari 2020 hingga Januari ini, seramai 579,000 remaja dan kanak-kanak dijangkiti Covid-19 yang mana 299,000 daripadanya berusia antara lima hingga 11 tahun.

"Dari jumlah itu, seramai 144 remaja di bawah usia 18 tahun dilaporkan meninggal dunia, dengan 33 daripadanya berusia antara lima hingga 11 tahun," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Jualan Keluarga Malaysia, Peringkat Negeri Perak, Parlimen Bagan Serai, di Tapak Pasar Tani, Pusat Bandar, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan bimbang jika program ini tidak dilaksanakan, akan berlaku peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.

Kelmarin media melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun bermula Februari ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, keutamaan diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk dijangkiti Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 3:29 PM