Bapa penunggang motosikal, Mohd Nasir Jaafar menunjukkan mesej terakhir Mohamad Nazri sebelum dia meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Besar-Sekinchan, semalam. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Bapa penunggang motosikal, Mohd Nasir Jaafar menunjukkan mesej terakhir Mohamad Nazri sebelum dia meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Besar-Sekinchan, semalam. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: "Bulan ini sahaja, arwah ada belikan saya tiga baju berjenama terkemuka serta sepasang kasut.

"Dia tidak lokek berkongsi rezeki dengan keluarga," kata Mohd Nasir Jaafar, 51, bapa kepada arwah Mohamad Nazri Mohd Nasir, 28, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 60 Jalan Teluk Intan-Klang, dekat Sungai Nibong, Sekinchan, semalam.

Mohamad Nazri terbunuh dalam nahas itu selepas motosikal Yamaha LC 135 ditungganginya melanggar belakang lori kontena di lokasi kejadian.

Bercerita lanjut, Mohd Nasir berkata, kali terakhir dia bertemu Allahyarham tiga hari lalu ketika mengalami demam.

"Arwah bawa saya ke sebuah klinik swasta di Sungai Besar untuk melakukan pemeriksaan lanjut. Ketika itu, tiada sebarang perubahan yang ditunjuk olehnya.

"Kelmarin, arwah bawa makanan dan minuman untuk ibunya selepas pulang dari tempat kerja. Boleh dikatakan setiap hari dia buat perkara itu," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Nasir berkata, dia mendapat berita kemalangan membabitkan Allahyarham selepas dihubungi isteri arwah, Norul Hasniza Abdul Rahman, 34, pada 8.10 pagi.

"Dia (Norul Hasniza) memaklumkan arwah terbabit kemalangan. Saya bergegas ke hospital dan sebelum tiba, saya dihubungi sekali lagi memaklumkan arwah sudah meninggal dunia.

"Meskipun masih berduka dan terkejut dengan kejadian itu, kami sekeluarga reda dan percaya dengan ketentuan Allah SWT," katanya.

Bercerita lanjut mengenai arwah, Mohd Nasir berkata, setiap hari, Mohamad Nazri berulang-alik antara Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) ke rumah di Taman Bayu, di sini, sejak enam tahun lalu.

Malah, katanya, setiap pagi anak sulung dari tiga beradik itu akan memaklumkan pergi ke tempat kerja kepada keluarganya melalui mesej WhatsApp.

"Arwah sentiasa mengambil berat serta menjaga kebajikan kami, walaupun sudah berkeluarga," katanya.

Allahyarham meninggalkan isteri, Norul Hasniza dan seorang anak perempuan, Nur Aleesya Sofea yang berusia dua tahun.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Terap selepas proses bedah siasat selesai hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 5.59 pagi.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu lori kontena, lori muatan tiga tan dan motosikal Yamaha LC 135.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 3:11 PM