Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kerajaan negeri menunggu laporan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) berhubung ajaran sebuah pusat tahfiz di Gunong, Bachok didakwa bercanggah dengan Islam.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana pusat tahfiz berkenaan dipercayai mempunyai pendekatan yang agak bercanggah.

Katanya, pihaknya sentiasa memantau aktiviti pusat tahfiz yang beroperasi di negeri itu dan setakat ini tidak ada menerima laporan berkait dengan ajaran yang bercanggah dengan Islam.

"Terdapat juga pusat tahfiz di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), namun kami sentiasa membuat pemantauan 100 peratus dan pada masa sama ada juga yang berdaftar dengan Maik.

"Bagaimanapun, saya bersimpati dengan nasib yang menimpa pelajar pusat tahfiz itu yang diarah untuk mengosongkan premis selepas menerima notis berpindah pada 12 Januari lalu.

"Ada di antara anak-anak tahfiz di situ baharu belajar, malah ada juga yang akan menamatkan pengajian tidak lama lagi, namun mereka diarahkan untuk keluar. Masalah ini antara pengurusan pusat tahfiz dan pihak yang mewakafkan pusat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian New Year Special Event 3.0 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud dan Presiden eRAT 4x4 Mohd Rafiee Daud.

Terdahulu, Ahmad melepaskan 100 peserta konvoi pertandingan sukan lasak di Lata Salju Ulu Tembeling selama tiga hari bermula hari ini sehingga 23 Januari ini.

Media sebelum ini melaporkan seramai 55 pelajar pusat tahfiz itu memerlukan penempatan baru selepas pemilik bangunan berkenaan memaklumkan mahu mengambil semula premis itu.

Mereka yang berusia lapan hingga 17 tahun diarah mengosongkan premis selepas menerima notis berpindah pada 12 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 12:52 PM
 Datuk Ahmad Yakob pada sidang media pada  Majlis Perasmian New Year Special Event 3.0  di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Datuk Ahmad Yakob pada sidang media pada Majlis Perasmian New Year Special Event 3.0 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR