JAHIDAH bersama anaknya masih dalam keadaan terlantar di katil. FOTO Ihsan Fauziah Nordin.
JAHIDAH bersama anaknya masih dalam keadaan terlantar di katil. FOTO Ihsan Fauziah Nordin.
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Walaupun tangannya mengeras, kami cuba bawa tangannya menyentuh bayi itu dan setiap kali melakukannya pasti air matanya akan mengalir," kata adik kepada Jahidah Nordin, wanita yang koma selepas dipukul suaminya dalam kejadian pada Mei tahun lalu.

Fauziah Nordin, 40, berkata keadaan Jahidah, 43, masih tidak boleh bergerak dan hanya terlantar di katil serta masih belum melihat anaknya, Eshan Nufail yang dilahirkan pada 30 November lalu.

"Kakak masih tidak boleh bergerak dan bercakap dan hanya terlantar di katil, malah dia juga tidak dapat memberikan maklum balas apabila ditanya atau sebagainya.

"Namun terdapat tanda dia memahami percakapan atau pertanyaan kami berdasarkan bahasa tubuh apabila dia kerap mengalirkan air mata.

"Walaupun tangannya mengeras, kami cuba bawa tangannya menyentuh bayi itu dan setiap kali melakukannya pasti air matanya akan mengalir," katanya di sini, hari ini.

Jahidah melahirkan anaknya di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban di sini, pada 30 November lalu melalui pembedahan.

Fauziah berkata, Eshan berada dalam keadaan sihat dengan diberikan susu formula, malah berat badannya juga bertambah.

"Melihat keadaan kakak, memang rasa sebak kerana keadaan ini sudah berlarutan lebih enam bulan, namun saya dan ahli keluarga lain akan terus menjaganya sehingga dia pulih

"Jahidah mengalami masalah di tekak yang mungkin menyebabkan dia sukar mengeluarkan suara namun keadaan itu dalam pemantauan pihak kesihatan," katanya.

Menurutnya, sehingga kini gaji Jahidah tidak dapat dikeluarkan daripada bank kerana dipercayai berkaitan dengan masalah di bank dan urusan mahkamah.

"Buat masa ini kami terpaksa bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi akaun CIMB Bank Fauziah

Nordin 7617797037.

Harian Metro pada Mei lalu melaporkan penjawat awam berusia 43 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor dilaporkan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu, Johor selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 11:52 AM