PELAJAR Maktab Mahmud Pendang menjalani ujian saringan Covid-19. FOTO Ihsan Pembaca.
PELAJAR Maktab Mahmud Pendang menjalani ujian saringan Covid-19. FOTO Ihsan Pembaca.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kedah merekodkan seramai 1,120 pelajar di negeri ini disahkan positif Covid-19 sejak 1 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo berkata, kluster aktif terbaharu hari ini adalah kluster kesembilan pendidikan ialah Kluster Dah Teratai Jingga.

Katanya, kluster ini membabitkan Maktab Mahmud Alor Setar yang mencatatkan 18 kes positif Covid-19.

"Untuk rekod, kluster membabitkan institusi pendidikan di Kedah mula direkodkan pada 11 Januari lalu iaitu Kluster Dah Che Bema, yang tercetus selepas dua hari sekolah dibuka.

"Kluster seterusnya pada 17 Januari iaitu Kluster Dah Jalan Merbau membabitkan warga Kolej MARA Kuala Nerang," katanya ketika dihubungi.

Dr Othman berkata, pada 18 Januari, tiga lagi kluster baharu diisytihar, masing-masing Kluster Dah Penyarom di Maktab Mahmud Pendang; Kluster Dah Teluk Teduri membabitkan warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling dan Kluster Dah Jalan Pantai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda, Sungai Petani.

"Semalam tiga lagi kluster baharu diisytihar iaitu Kluster Dah Padang Halban membabitkan wargaSMK Changlun di Kubang Pasu dan Kluster Dah Sungai Kob membabitkan warga SMK Sungai Kob di Kulim.

"Satu lagi adalah Kluster Dah Sungai Limau membabitkan warga Sekolah Menengah Agama, SMA Saadah Al-Diniyah Al-Islamiyah di Yan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 9:25 PM