MUHAMMAD Sanusi. FOTO Bernama
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Pulau Pinang diminta mengemukakan sebarang perjanjian membuktikan negeri itu tidak perlu membayar sumber air yang diambilnya melalui Sungai Muda kepada Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhamamd Sanusi Md Nor berkata, sememangnya sejak dahulu tiada pihak perlu membayar kepada sesiapa bagi menggunakan sumber air termasuk dalam kalangan negeri.

Bagaimanapun, jelasnya keadaan berubah apabila Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 dikuatkuasa dengan kerajaan negeri berkuasa penuh ke atas sumber air dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjadi sebagai regulator.

"Dahulu memang tidak ada bayar air mentah kepada sesiapa kerana tidak ada WSIA. Tetapi apabila WSIA dikuatkuasa pada 2006, sumber air menjadi bidang kuasa negeri dan dilantik operator mengendalikan bekalan berkenaan.

"Negeri mempunyai kuasa pada sumber air merangkumi kawasan tadahan, lembangan sungai dan aliran air. Maka mana-mana pihak yang mendapat faedah daripadanya perlu membayar sumber berkenaan," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Pada 10 Januari lalu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendakwa tidak mempunyai obligasi membayar kepada Kedah bagi kerja mengabstrak air mentah dari Sungai Muda dan dari kawasan tadahan Ulu Sungai Muda di Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa dilapor berkata, kerja mengabstrak air dari sebelah Pulau Pinang itu dibuat berdasarkan Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) yang tidak menyebut sebarang bayaran untuk pengambilan air mentah.

Muhammad Sanusi menegaskan, Pulau Pinang dan Kedah tidak mempunyai sebarang perjanjian sah membuktikan tiada pembayaran perlu dibuat bagi pengambilan air mentah dari Sungai Muda dan kawasan tadahan Ulu Sungai Muda.

"Obligasi sudah lupus apabila pelaksanaan WSIA pada 2006, jadi tidak perlu cerita perkara lama, sekarang tahun 2022. Saya tidak pasti ada perjanjian atau tidak, jika ada Pulau Pinang boleh bekalkan kepada saya.

"Saya difahamkan dahulu ada dibuat deraf perjanjian kerana Pulau Pinang mahu membuat pinjaman kepada bank antarabangsa, tetapi perjanjian betul saya tidak pasti ada atau tidak. Jika ada perjanjian sila tunjukkan," katanya.

Untuk rekod, Syarikat Air Darul Aman (SADA) turut membayar kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) bagi menggunakan sumber air negeri, sebelum dapat membekalkannya kepada pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 4:43 PM