LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis akan menyiasat semua dakwaan dan laporan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar seadil-adilnya berlandaskan fakta dan bukti yang ada, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah.

"Sebagaimana, kenyataan Pengarah JSJN tempoh hari, polis akan menyiasat semua dakwaan dibuat wakil rakyat terbabit.

"Siasatan ini akan dijalankan dengan seadil-adilnya berlandaskan fakta dan bukti-bukti yang ada" katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini

Terdahulu, sebuah portal melaporkan peguam Adun terbabit, Ramkarpal Singh mendakwa ujian dadah kali kedua yang dijalankan ke atas wakil rakyat dari Perak itu gagal mengesan dadah terlarang.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut, 15 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal berkata, polis masih menunggu laporan daripada pakar patologi bagi melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Kebiasaannya ia akan mengambil masa antara sebulan hingga tiga bulan bergantung kepada situasi.

"Sebarang perkembangan lanjut berkaitan kes ini kita akan maklumkan kemudian," katanya.

Khamis lalu, Adun berusia 54 tahun itu ditahan di sebuah kelab malam di Perai, di sini dalam serbuan kira-kira jam 9 malam selepas didapati positif dadah.

Dalam serbuan yang dijalankan polis dari Jabatan Integriti dan pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman itu keseluruhannya menahan 48 individu dengan 36 daripadanya berkaitan kes dadah manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 4:32 PM