Keadaan banjir di Shah Alam, bulan lalu. FOTO ARKIB NSTP
Keadaan banjir di Shah Alam, bulan lalu. FOTO ARKIB NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sebanyak 40,917 keluarga mangsa banjir di seluruh Selangor menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) membabitkan peruntukan RM41.037 juta sehingga hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan perkembangan terkini itu menerusi Facebook rasmi beliau sebentar tadi.

Beliau berkata, jumlah bantuan itu termasuklah kepada keluarga mangsa yang terkorban membabitkan 12 orang dengan jumlah peruntukan RM120,000.

"Setakat jam 10 pagi ini, jumlah ketua isi rumah (KIR) dibantu adalah 40,917 membabitkan RM40,917 juta, manakala keluarga mangsa ahli terkorban adalah RM120,000," katanya.

Amirudin berkata, mengikut pecahan daerah pula, empat daerah yang menerima BSB turut membabitkan ahli keluarga terkorban.

"Bagi daerah Klang, sebanyak 10,177 KIR dan enam penerima ahli keluarga terkorban dengan jumlah RM10,237 juta.

"Bagi daerah Sepang, sebanyak 3,966 KIR dan tiga penerima ahli keluarga terkorban dengan jumlah RM3,996 juta.

"Bagi daerah Hulu Langat, 6,867 KIR dan dua penerima ahli keluarga terkorban dengan jumlah RM6,887 juta, manakala daerah Kuala Langat membabitkan 5,279 KIR, satu penerima ahli keluarga terkorban dengan jumlah RM5,289 juta," katanya.

Sementara itu katanya, lima lagi daerah tiada penerima ahli keluarga terkorban iaitu Petaling (RM11,236 juta), Kuala Selangor (RM2,366 juta), Gombak (RM898,000), Hulu Selangor (RM93,000) dan Sabak Bernam (RM35,000).

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan insiden banjir di beberapa daerah di negeri ini.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan membabitkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai agihan hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 2:32 PM