Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Sindiket pengedaran dadah dikesan menggunakan jalan laut di perairan negeri ini untuk penyeludupan bahan terlarang itu susulan rampasan 18.7 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM670,000 di tepi pantai Rhu Kubur, Jambu Bongkok, Marang di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Marang bergegas ke lokasi berkenaan sebaik menerima maklumat daripada penduduk kampung mengenai tindak tanduk mencurigakan tiga lelaki di kawasan berkenaan pada jam 8 malam.

Beliau berkata, penduduk kampung terbabit memaklumkan melihat tiga suspek sedang mengangkat sesuatu objek namun melarikan diri menaiki sebuah kenderaan sebaik menyedari tindak tanduk mereka diperhatikan penduduk.

"Penduduk kampung menghampiri lokasi berkenaan dan menemui satu guni yang tidak diketahui kandungannya sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

"Siasatan mendapati guni yang ditinggalkan suspek berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 18.7 kilogram dan bekalan dadah itu boleh menampung kira-kira 94,000 penagih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Rohaimi berkata, pihaknya percaya ia adalah modus operasi terbaharu sindiket pengedaran dadah berdasarkan keadaan guni yang diikat dengan pelampung serta kehadiran teritip pada guni berkenaan.

Katanya, pihaknya percaya guni berkenaan dihanyutkan sebelum bekalan dadah itu diambil warga tempatan.

Datuk Rohaimi Md Isa (dua, kiri) menunjukkan dadah jenis syabu seberat 18.7 kilogram bernilai RM674,244 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Datuk Rohaimi Md Isa (dua, kiri) menunjukkan dadah jenis syabu seberat 18.7 kilogram bernilai RM674,244 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI

"Ini bukan kelaziman yang berlaku di Terengganu apabila berlakunya penyeludupan atau pengedaran dadah secara besar-besaran menggunakan jalan laut iaitu di pesisiran pantai.

"Jadi kita percaya mereka ini mengubah modus operandi berikutan operasi besar-besaran yang dijalankan pihak narkotik di Bukit Aman dan seluruh kontinjen.

"Penyeludup cuba menjadikan pesisir pantai Terengganu sebagai laluan mereka untuk melancarkan kegiatan mereka," katanya.

Tambah Rohaimi lagi, berdasarkan jumlah bekalan yang banyak itu, pihaknya percaya bekalan dadah itu bukan untuk pasaran Terengganu semata-mata sebaliknya negeri ini hanya dijadikan transit sebelum diedarkan.

"Setakat ini tidak ada tangkapan namun penduduk kampung terbabit memaklumkan ada melihat kehadiran bot asing berada di kawasan berkenaan dalam tempoh tiga ke empat hari sebelum penemuan guni itu.

"Kita percaya guni berkenaan berada di laut berkenaan secara ampungan lama dan di pantai Terengganu mungkin antara tiga hingga empat hari.

"Siasatan lanjut akan dijalankan dan kita memohon kerjasama orang ramai terutama mereka yang menetap di perkampungan atau berhampiran pantai untuk melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 2:25 PM