GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kelantan merekodkan empat kluster pendidikan dan tiga daripadanya adalah kluster baharu yang dilaporkan semalam dengan jumlah kumulatif 142 kes.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kluster baharu yang direkodkan semalam adalah Kluster Pulau Melaka, Kluster Padang Raja di Kota Bharu dan Kluster Jalan Bandar Chiku di Gua Musang.

Katanya, Kluster Pulau Melaka merekodkan sebanyak 11 kes, manakala Kluster Padang Raja sembilan kes dan Kluster Jalan Bandar Chiku lapan kes.

"Tiga kluster ini membabitkan pelajar di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

"Pada masa yang sama, Kluster Embi Telipot yang membabitkan pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat juga menunjukkan pertambahan sebanyak 33 kes baharu dengan jumlah kumulatif 106 kes.

"Disebabkan kluster pendidikan sudah ada, kita memohon kerjasama semua pihak termasuk warga sekolah, ibu bapa dan pelajar untuk sama-sama menjaga prosedur operasi standard (SOP)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Zaini berkata, bagi pelajar yang tidak sihat dan bergejala dinasihatkan supaya tidak hadir ke sekolah untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, mereka juga digalakkan untuk membuat ujian saringan Covid-19 di rumah sebelum hadir ke sekolah untuk memastikan status benar-benar sihat.

"Selain itu, kita merayu kepada masyarakat negeri ini supaya menjaga diri dan tidak keluar ke tempat sesak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 1:30 PM