GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Dua sekolah di negeri ini mencetuskan dua kluster baharu kes Covid-19 apabila warga daripada kedua-dua pusat pendidikan itu disahkan positif.

Kluster Pendidikan Jalan Sikamat diisytiharkan pada Isnin lalu apabila 56 warga Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Munawir di Sikamat, di sini, disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata, satu lagi kluster diisytiharkan pada 13 Januari lalu membabitkan Sekolah Menengah Agama Nilai, Nilai.

"Kluster Pendidikan Jalan Sikamat diumumkan secara rasmi pada Isnin lalu apabila warga sekolah yang bergejala sebelum ujian saringan Covid-19 dilakukan dan mendapati dia positif.

"Seramai 227 individu disaring termasuk kontak rapat. Seramai 56 individu didapati positif Covid-19 manakala 171 individu negatif.

"Mereka yang disahkan positif dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Tampin bagi rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Veerapan berkata, bagi kes indeks di Sekolah Menengah Agama Nilai, seramai 57 pelajar disaring sebelum seramai 13 pelajar didapati positif-19 manakala 44 lagi disahkan negatif.

"Proses sanitasi sudah dilakukan di kedua-dua sekolah ini dan saya difahamkan masih belum beroperasi untuk proses pembelajaran atas arahan Jabatan Pendidikan Negeri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 11:08 AM