GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sebanyak 239 kes import positif Covid-19 iaitu mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan daripada keseluruhan 3,229 kes baharu, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka yang mendapat jangkitan dari luar negara itu membabitkan 175 warganegara manakala 64 lagi bukan warganegara.

Menurutnya, baki 2,990 kes pula adalah penularan tempatan membabitkan 2,899 warganegara dan 91 bukan warganegara.

"Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 98.8 peratus atau 3,191 kes terdiri daripada pesakit kategori satu dan dua manakala selebihnya iaitu 1.2 peratus atau 38 kes kategori tiga hingga lima.

"Pertambahan kes baharu itu juga menjadikan keseluruhan 2,817,163 kes Covid-19 di negara manakala bagi kes sembuh pula berjumlah 2,744,203 kes setakat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah 162 kes membabitkan 133 kes disahkan Covid-19 manakala 29 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Katanya, kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 76 kes membabitkan 55 kes disahkan Covid-19 dan 21 kes disyaki, kemungkinan serta dalam siasatan.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 20 kluster baharu dikesan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan 6,255 kluster dengan 201 kluster masih aktif.

Beliau berkata, nilai kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di seluruh negara berada di bawah paras 0.99.

Katanya, Kuala Lumpur merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.08 diikuti Negeri Sembilan (1.06), Melaka (1.04) dan Johor (1.04).

Katanya, empat negeri pula mencatatkan nilai Rt terendah iaitu 0.00 iaitu Perlis, Labuan, Putrajaya dan Sarawak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 6:12 PM